Kalamullah

Kalamullah

Tuesday, June 23, 2009

Cinta Mahameru



HORIZON
Sukar tapi berbaloi





Dengan jarak cuma 2.7km dari Kem Kalimati, kami terpaksa berhempas pulas selama 7 jam 43 minit untuk meraikan saat-saat manis di puncak pada ketinggian 3,676 meter (12,130 kaki) bersama.

SERAMAI 12 pendaki dari Malaysia berjaya mendaki puncak gunung berapi yang paling sukar didaki di Indonesia iaitu Gunung Semeru di Kepulauan Jawa pada akhir April lalu. Berikut rentetan pendakian yang dicatatkan oleh ASMARUDDIN JAMALUDDIN yang turut menyertai ekspedisi itu.
Hari pertama: Pertemuan kami dengan rakan-rakan pendaki tempatan bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda. Selepas perkenalan ringkas dengan penunjuk jalan, Bambang dan rakan rakannya, kami meneruskan perjalanan menuju ke Tumpang, Malang sejauh 127 kilometer (km).

Di sepanjang perjalanan, kami singgah di kawasan bencana banjir lumpur yang pernah menggemparkan dunia pada tahun 2006. Banjir lumpur panas Sidoarjo atau lumpur Lapindo berlaku di Desa Renokenongo, Kecamatan Porong, Kabupaten Sidoarjo, Jawa Timur. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke warung Lesehan Pak Haji Salleh untuk makan tengah hari. Warung ini sangat terkenal dengan keenakan juadah yang disajikan dan pelanggan akan makan di pondok-pondok kecil sambil bersila.




PEMANDANGAN kawasan padang savana yang dikenali sebagai Teletubies.


Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Malang dan singgah sebentar di kedai peralatan rekreasi bagi membeli kelengkapan dan persiapan akhir untuk mendaki keesokan hari. Malam itu, kami bermalam di homestay Rani di Tumpang.

Hari kedua: Seawal pagi lagi, kami telah bersiap sedia menuju ke Ranupane untuk urusan mendaki. Dengan jarak 29.2km, ia mengambil masa hampir dua jam menaiki pacuan empat roda (4WD). Berasak-asak sambil berdiri menaiki kenderaan seawal pagi yang dingin memberi satu pengalaman baru buat kami, apatah lagi pemandangan perkampungan di pergunungan ini amat menakjubkan.

Melalui jalan kecil yang berliku dan semakin lama semakin mendaki serta disajikan pula dengan pemandangan petani mula keluar untuk urusan seharian, sedikit sebanyak melalaikan kami bahawa sebenarnya kami telah mula letih dilambung kenderaan yang melalui jalan yang tidak rata. Malah untuk berpaling ke arah lain pun sukar kerana kami bersesak seramai 12 orang menaiki 4WD tersebut.

Dari Pos Ranupane (2,119 meter/6,993 kaki), kami memulakan pendakian sebenar tepat pukul 10 pagi menuju ke Kem Ranu Kumbolo sejauh 25.7km. Terdapat empat pondok rehat di sepanjang pendakian ke kem ini.

Trek pendakian dipenuhi semak-samun setinggi kepala dengan bunga yang sedang mekar pelbagai saiz dan bentuk mengiringi pendakian kami ke tapak perkhemahan. Melalui lereng-lereng bukit dan sesekali mendaki dengan pemandangan yang menakjubkan, memang mengasyikkan. Kami mendaki selama hampir 7 jam 45 minit untuk ke kawasan perkhemahan.



PESERTA sedang menuruni puncak Semeru yang juga dikenali sebagai puncak Mahameru.

Tasik Ranu Kumbolo adalah bekas kawah gunung berapi. Dengan ketinggian 2,404 meter (7,933 kaki), kawasan perkhemahan ini adalah kawasan paling sejuk di pergunungan ini. Kali ini, kami dilayan seperti VIP kerana segala keperluan makan dan minum disediakan oleh tukang masak dan dihidangkan di depan khemah. Malam itu, kami berbual panjang mengenai pengalaman pertama mendaki gunung yang menyajikan pemandangan tercantik setakat ini.
Hari ketiga: Kami bangun awal untuk menikmati pemandangan matahari naik di antara celahan dua bukit di hujung tasik. Walaupun kesejukan, kami menikmati pemandangan menakjubkan pada pagi itu dengan penuh semangat dan ceria. Kelihatan cahaya matahari mula menyimbah air tasik dan menghasilkan bayangan berkilauan. Kemudian, permukaan tasik mula mengeluarkan wap seperti berasap menutupi permukaan dan sesekali ia bergerak ditiup angin.

Selepas sarapan, kami memulakan perjalanan ke Kem Kalimati sejauh 4.6km lagi. Walaupun jaraknya separuh daripada jarak sebelumnya tetapi kami mengambil masa 7 jam 48 minit untuk tiba di kem tersebut. Kelewatan ini bukan kerana treknya lebih sukar tetapi pemandangan yang menanti kami sebenarnya lebih menarik dan menakjubkan daripada semalam.


SEORANG petani sedang membawa rumput semasa peserta singgah di sebuah perkampungan di kawasan pergunungan.

Justeru, kelewatan tersebut sebenarnya telah diisi dengan sesi bergambar di sepanjang trek ini. Cabaran kami pada pagi itu adalah melepasi Bukit Tanjakan Cinta. Menurut Bambang, sesiapa yang dapat mendaki bukit ini tanpa henti sehingga ke puncaknya bermakna cintanya juga sekuat dan seteguh semangat untuk sampai ke puncak.

Selepas itu, kami melalui Padang Oro Oro Ombo yang luas. Tanah rata ini menyajikan pokok-pokok bunga yang sedang mekar dan berwarna-warni. Dengan ketinggian 1.22 meter, tinggi pokok bunga di sini memberi pengalaman unik sepanjang berada di trek tersebut.

Di kiri dan kanan pula, menyajikan pemandangan gunung yang ditumbuhi pokok pain dan cemara di sekitar bukit dengan langit membiru. Walaupun cuaca panas tetapi masih dingin.

Kemudian, kami mula memasuki hutan Cemoro Kandang. Melepasi hutan pokok cemara dan pokok pain dengan semak- samun setinggi kepala memberi gambaran sebenar bentuk muka bumi pergunungan separa Alpine di sini.

Dari sini, kami dapat melihat dengan jelas gambaran sebenar puncak Semeru. Tiada apa yang mampu tumbuh di kawasan puncak ini kerana kawasannya dipenuhi debu pasir dan batu kerikil yang dihambur keluar oleh letusan gunung berapi tersebut. Memang menggerunkan apabila melihat puncak ini terus menegak dengan trek pasir semula jadi yang akan kami tempuhi nanti. Sebenarnya, trek ini adalah laluan semula jadi aliran lava panas yang meleleh keluar dari kawah gunung tersebut.


PESERTA bergambar semasa meraikan saat saat manis di puncak Mahameru.


Cuma, ada sebatang pokok cemara yang masih mampu bertahan di kawasan ini dan digelar Cemoro Tunggal. Petang itu, kami habiskan masa senggang dengan berbual dan berehat kerana kami akan mendaki ke puncak tepat pukul 12 malam.


Hari keempat: Tepat pukul 12 malam, kami memulakan langkah dengan perlahan mendaki ke puncak Gunung Semeru yang juga dikenali sebagai puncak Mahameru. Berpandukan cahaya lampu suluh, kami melepasi saki-baki hutan Cemoro Kandang menuju ke tapak perkhemahan terakhir di Arcopodo. Tapak perkhemahan ini telah lama tidak digunakan kerana tiada punca air dan kawasan itu juga berdebu. Tiada lagi pokok cemara untuk berlindung selepas ini.


Kami meneruskan pendakian dan sampai di Cemoro Tunggal pada pukul 3.30 pagi di ketinggian 3,070 meter (10,131 kaki). Inilah satu-satunya pokok yang masih tinggal selepas Arcopodo. Suasana trek ketika ini masih gelap gelita. Sesekali terlihat cahaya lampu peserta di depan yang semakin lama semakin menghilang.


Trek pasir yang berdebu menjadi penghalang utama kami untuk melangkah kemas ke hadapan. Tiada tempat untuk kami berpaut dan hanya yang ada adalah longgokan pasir yang disangka keras tetapi sebaik sahaja disentuh, ia akan pecah berderai.


Memang terasa sangat sukar untuk menghabiskan trek ini untuk sampai ke puncak. Debu dan pasir menyebabkan tekak terasa perit. Barulah, kami mula memahami mengapa puncak gunung ini dilabel sebagai puncak gunung berapi paling sukar didaki.


Dengan jarak cuma 2.7km dari Kem Kalimati, kami terpaksa berhempas pulas selama 7 jam 43 minit untuk meraikan saat- saat manis di puncak pada ketinggian 3,676 meter (12,130 kaki) bersama. Peserta di depan sampai sejam lebih awal dan dapat menikmati pemandangan indah matahari terbit di puncak Mahameru.


BERGAMBAR berlatarbelakangkan Kem Ranu Kumbolo.

Selepas bergambar dan menikmati keindahan pemandangan di puncak, akhirnya kami terpaksa juga mengucapkan selamat tinggal dan meneruskan perjalanan turun ke Kem Kalimati, sebelum menyambung perjalanan ke Kem Ranu Kumbolo.

Kami meneruskan cabaran dengan menuruni gunung ini dengan laluan yang sama. Menuruni trek ini pada waktu siang memang sangat mencabar. Trek ini terlalu curam dengan batu kerikil, pasir dan debu mula berterbangan sebaik sahaja kami melaluinya. Kami tidak mempunyai pilihan, selain menggelongsor melalui lorong-lorong trek tersebut.

Sesekali terdengar suara menjerit kerana gagal mengawal badan lalu jatuh berguling dan terhempas di atas trek berdebu tersebut. Segala skil dan teknik yang ada, kami gunakan untuk menuruni trek ini. Akibatnya, bahagian punggung seluar kami dan sarung tangan koyak-rabak terkena 'penangan' trek ini. Nasib baik, kami memakai seluar antara tiga hingga empat lapis.
Sebaik tiba di Kem Kalimati, kami bersiap pula untuk meneruskan pendakian pulang ke Kem Ranu Kumbolo dan bermalam di sana. Sebenarnya, hari tersebut adalah hari yang paling memenatkan kerana kami telah berjalan selama hampir 19 jam. Bermula dari Kem Kalimati, kami menuju ke puncak Mahameru. Selepas itu, kami meneruskan pendakian turun terus ke Kem Ranu Kumbolo sejauh 9.9km. Malam itu, kami tidur awal kerana masing-masing kepenatan.

No comments:

REZEKI akan MELIMPAH jika DIBAHAGI...
ILMU akan BERTAMBAH jika DIKONGSI...
KASIH SAYANG akan BERCAMBAH jika DIBERI

jangan KEDEKUT...
JAngan TAMAK dan TAK PERLU BIMBANG...
Jika segalanya hanya kerana ALLAH