Kalamullah

Kalamullah

Thursday, July 3, 2014

Self Portrait Walk Away : Koh Samui, Suratthani (Trip Madu-madu)

Durasi:
30 November 2013 - 3 Disember 2013

Jadual Penerbangan :
AK1908 KUL – URT (10.25 pagi) 30 November 2013
AK1909 URT – KUL (11.20 pagi) 3 Disember 2013

Ahli :
Suhaimi Azit (Penulis)
Rb Tini
Hanna Anna

Hari 1 (Sabtu,  30 November 2013)

10.25 pagi pesawat berlepas terbang ke Suratthani daripada LCCT, Sepang. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Kerusi pesawat sekitar 75% penuh. Seat yang masih berbaki tentunya di hot seat (merah). Cuaca kurang baik dan hujan lebat kira-kira setengah jam sebelum pesawat mendarat menyebabkan pesawat bergegar dan mengalami jatuhan air pocket untuk beberapa kali. Pesawat terpaksa mendarat dalam keadaan hujan lebat dan gelap. Penumpang semua memberikan tepukan tahniah dan syukur kerana masih diberikan nyawa yang panjang setelah pesawat mendarat dengan selamat. Punch In di Suratthani International Airport jam 10.50 pagi (waktu tempatan)

Dari pintu keluar balai ketibaan, kami terus menempah pengangkutan dan bas untuk ke Koh Samui. Jumlah kos pengangkutan Bath 1100 ( Meliputi Bas dari Suratthani Airport ke Donsak Pier, Seatrans Ferry Donsak – Koh Samui & Charter Van dari Koh Samui Jetty ke Hotel (Pergi Balik)


Lokasi Pulau Koh Samui dari tanah besar

Bas Philtranco menunggu betul-betul dihadapan balai ketibaan. Bas double decker bertolak tepat jam 12.30 tengahhari menuju Donsak Pier. Perjalanan dari lapangan terbang ke jeti Donsak memakan masa hampir 1 jam 30 minit. Rata –rata penumpang di dalam bas adalah penumpang warga asing termasuk kami juga.


Bas Philtranco yang membawa penulis dari Lapangan 
Terbang Antarabangsa Suratthani ke Donsak Pier

Bas yang dinaiki sampai ke Jeti Donsak jam 3.00 petang. Pekan Donsak terletak di tepi kawasan pantai batu kapur, pemandangan semacam di Krabi. Dari tempat parkir bas kami berjalan kaki terus menuju ke jeti penumpang feri Seatrans. Di sini kami perlu mengemukakan tiket feri yang dibeli di lapangan terbang tadi sebelum dibenarkan menaiki kapal. Feri Seatrans sebesar kapal kargo yang mempunyai ruang kenderaan yang boleh memuatkan lori kontena (sekitar 50 biji kereta sedan). Terdapat 4 tingkat ruang penumpang iaitu ruang udara terbuka, dewan berhawa dingin, kafe dan roof deck. Tempat duduk bebas, tiada nombor tertentu. Kami lebih selesa untuk mengambil poisisi di roof deck, pemandangan lebih terbuka dan bebas.

Tepat jam 3.00 petang, pengumuman dibuat dan perlahan-lahan feri ini mulai membelah ombak laut menuju ke Koh Samui. Malang sedikit, kerana ketika perjalanan ini dibuat, musim monsun & ombak besar sedang melanda kawasan Teluk Siam. Keadaan feri yang terumbang ambing dibuai ombak ganas membuatkan kami sedikit gusar dan kecut perut. Namun situasi ini dapat dilupakan seketika apabila kami dihamparkan dengan saujana mata memandang warna hijau kristal laut lepas. Perjalanan ke Koh Samui memakan masa hampir 2 jam 30 minit. Perjalanan ini dapat dipercepatkan lagi sekiranya kami memilih perjalanan dengan menggunakan speed bot dan catamaran express seperti Lomprayah Ferry Service. Pastinya harganya setimpal dengan kelajuan masa perjalanan. 


Feri Seatrans yang penulis naiki



View gunung batu kapur di daerah Donsak (dari top deck)


Pemeriksaan terakhor sebelum feri bertolak



Penulis ketika feri membelah laut siam


Keadaan cafe yang bersih dan selesa di tingkat 2



Feri membelah laut siam



Selepas 2 jam mengharungi ombak besar,
kami sampai Koh Samui, (Nathon Pier)

Jam 4.00 petang, Feri Seatrans perlahan-lahan merapati jeti Nathon di Koh Samui. Di hadapan kami terbentang indah pulau Koh Samui yang saya kira menyamai keluasan Pulau Langkawi. Turun sahaja dari feri, kami disambut oleh wakil dari syarikat van yang akan menghantar kami terus ke hotel penginapan kami. Perjalanan dari jeti ke hotel penginapan mengambil masa sekitar 30 minit. Di pulau ini saya dapati jalan raya yang dibina menggunakan konkrit, mungkin disebabkan oleh sukar untuk mendapatkan bahan binaan. Kelihatan banyak di tepi jalan resort-resort dan hotel-hotel antarabangsa, yang pastinya menjanjikan kemewahan dan jaminan perkhidmatan yang terbaik.

Kami bermalam di Lotus Garden Hotel. Hotel ini dimiliki oleh warga Grece yang terletak di Pantai Chaweng, hotel baru tanpa bintang yang terletak terkeluar sedikit dari pusat Pekan Chaweng, namun memandangkan semua ahli pengembaraan masih muda dan sihat lagi. Maka tidak kisahlah jika terpaksa berjalan jauh sedikit. Jarak dari hotel ini ke pusat Pekan Chaweng sekitar 750m (25 minit berjalan kaki)


Lokasi Hotel Lotus dari Pantai Chaweng

Setelah selesai mempersiapkan diri, kami mengambil peluang untuk bersiar-siap di Pekan Chaweng, suasana selepas hujan benar-benar memberikan keselesaan kepada kami yang berjalan kami. Pekan ini dipenuhi dengan pelancong dari Eropah Timur berdasarkan bahasa yang dituturkan.

Makanan laut yang di jual

Banyak cenderamata dan produk kraftangan tempatan yang dijual disini, seperti pakaian, key chain, lampu dari tempurung kelapa, fridge magnet, produk tiruan. Cenderamata istimewa dari pulau ini adalah sabun berperisa buah dan sabun yang diukir seperti dibawah ini. Harga sekitar Bath 70 hingga Bath 300 setiap satu. 

 Antara kraftangan yang boleh didapati di Bazar Chaweng



Pemandangan pada waktu malam di Pekan Chaweng

Pada malam tersebut, kami menikmati makan malam di sebuah restoran yang dimiliki oleh warga Pakistan, perjelasan awal diperolehi bahawa restoran tersebut halal. Namun ianya menjual minuman beralkohol kepada pelanggan. Darurat fikirku.. yang penting kami makan seafood sahaja (rasa makanan biasa-biasa sahaja). Harganya adalah sedikit mahal mungkin disebabkan berada dilokasi tumpuan pelancong.


Penulis sedang memilih hidangan makan malam
 berdasarkan budget yang ada di dalam poket

”Memandangkan agak sukar untuk mendapatkan makanan halal disini dan perasaaan musykil dan was-was menguasai diri, kami sebulat suara mengambil keputusan untuk makan bekalan yang kami bawa dari Malaysia sahaja iaitu Roti Sandwich, kaya, sup segera, coklat,sardin tin & tuna tin.”
~ Islam itu Mudah

Ringkasan Hari 1:

LCCT – Suratthani
Philtranco – Donsak Pier
Seatrans – Nothon Pier (Koh Samui)
Lotus Hotel - Chaweng

Hari 2 (Ahad, 1 Disember 2013)

Akibat perjalanan yang jauh semalam dan hujan manja-manja malam tadi, pagi ini kami bangun lewat sedikit dan menikmati sarapan bekalan yang dibawa di bilik hotel. Setelah selesai bersarapan, kami menuju ke agensi tour berhampiran dengan tempat penginapan kami bagi membooking trip island hopping  ke pulau Koh Phang-Nga dan Ang Thong Marine National Park. Kos untuk trip ini sekitar RM150/ seorang/ seharian. Kos ini termasuk pengangkutan pergi balik dari hotel, alatan, speed boat dan lunch. Setelah mengambil maklum bahawa keadaan laut yang bergelora ketika ini, kami bersepakat untuk menggantikan akviti island hopping kepada menjelajah keseluruhan pulau dengan pacuan 4 roda.


Kami menyewa sebuah pacuan 4 roda~2 pintu, kadar sewa adalah Bath 700 tambahan minyak petrol Bath 400. Ruang dalam kereta ini kecil dan comel, bahagian belakang hanya boleh memuatkan penumpang bertubuh kecil sahaja. Dengan bantuan peta pelancong yang diperolehi daripada hotel, kami memulakan penjelajahan kami. 

kereta untuk hari pertama Bath700



Kami menuju ke bahagian selatan pulau ini iaitu daerah Taling Ngam & Na Muang (Road No. 4169). Perhentian pertama kami adalah Lad Koh view point. Jarak pemanduan dari Chaweng adalah 20 minit. Rumah-rumah tradisional, perniagaan berasakan pelancongan menghiasi dikiri dan kanan jalan. View point ini terletak pada paras 60m dari aras laut menjanjikan panorama menakjubkan Teluk Siam yang terbentang luas membiru dan dilatari dengan pemandangan Pantai Chaweng disebelah kiri. Terdapat tangga konkrit yang dibina untuk ke gigi pantai. Keadaan ombak yang besar menyebabkan kami lebih berhati-hati ketika menuruni tangga ini. 




   Pemandangan di Lad Koh View Point yang menghadap laut Teluk Siam


Penjelajahan diteruskan menuju ke “Hin Yai & Hin Ta”  Tempat ini merupakan kawasan formasi batuan yang membentuk pelbagai bentuk batuan yang unik dan pelik. Hin Tai bermaksud Kote dan Hin Ta pula Burit, itulah bentuk batuan yang menjadi tarikan utama plancong kesini. Untuk ke sini kami perlu memandu kawasan jalan yang sempit sebelum sampai ke kawasan parking, Bath 20 kos parking yang perlu dibayar. Dari parkir kami perlu berjalan kaki melalui lorong kecil yang dipenuhi dengan kedai cenderamata dan kraftangan. Saya dapati bahawa harga barang disini lebih murah berbanding harga di Chaweng. Beberapa helai t-shirt I Love Koh Samui telah berjaya dibeli disini.








Diantara batu Hin Yai & Hin Ta terdapat sebuah pantai kecil, memandangkan kami semua stim melihat ombak memhempas pantai, masing-masing mengambil peluang bermain air dan ombak. Akibat terlampau leka bermain, tidak sedar selipar milik seorang ahli telah dihanyutkan arus air. Puas dicari namun dijumpai dikedai kasut dengan harga Bath 150.

Kami meninggalkan Hinyai & Hinta dengan memori kehilangan selipar untuk selama-lamanya. Memandangkan cuaca yang panas dan perut yang lapar. Kami bercdang untuk bermandi-manda & menikmati makan tengahari di air terjun Na Muang 2. Jarak perjalanan lebih kurang 15 km dari pantai Hinyai & Hinta. Air terjun ini terletak di dalam kawasan Na Muang safari park yang menempatkan taman safari gajah, buaya dan binatang-binatang liar yang lain. Sampai sahaja disini kami disambut dengan tahi gajah memenuhi segenap ceruk kawasan ini. Ternyata memang banyak gajah yang mendiami taman ini.

Kami berhenti makan dahulu di pondok yang disediakan sebelum menapak menuju air terjun. Kami menikmati hidangan berlima, bersama dua ekor tetamu yang tidak diundang iaitu anjing jinak. Walaupun telah diberikan sekeping dua roti, namun anjing ini masih bergedil tidak mahu berganjak dari kami. Terpaksalah penulis menggunakan tipu helah akal yang bijak bistari untuk menghalau anjing ini.


  
Untuk sampai ke air terjun Na Muang 2, kami perlu berjalan kaki sejauh lebih kurang 1km. Dengan bayaran Bath 80 kami memilih untuk menaiki pacuan 4 roda menuju ke air terjun tersebut. Sampai sahaja di kaki air terjun tersebut kami perlu mendaki lebih kurang 300 meter sebelum sampai ke air terjun yang dimaksudkan. Peluh jantan memercik keluar dari tubuh untuk kami sampai kesini. Suasana petang yang panas dan air yang dingin tidak melengah-lengahkan kami untuk bermandi-manda. Terdapat banyak aras ketinggian air terjun yang boleh dinikmati, memandangkan kekangan masa dan tenaga yang semakin berkurangan, kami mandi dikawasan tengah sahaja.


Untuk pulang semula ke base camp, penulis telah memilih untuk duduk di atas bumbung kenderaan pacuan 4 roda ini bagi merasai pengalaman sebenar off-road. Ternyata pilihan yang tepat, pemandu kenderaan telah menggunakan jalan lain untuk pulang, jalannya berlubang-lubang dan curam. sesuai dengan tema off-road. Sakit semua tulang-belulang kesan dari jalan tersebut. Sampai sahaja di parkir, kami bergambar bersama patung buaya di hadapan pintu masuk taman buaya yang terdapat dalam safari ini.

Satu pengalaman yang penulis tidak dapat lupakan, ialah berpeluang merasai, memegang dan bergambar bersama dengan harimau belang disini. Terdapat 3 spesis yang dipamirkan iaitu singa, harimau bintang dan harimau belang. Penulis memilih harimau belang kerana harimau belang merupakan binatang yang terkenal dengan sifat ganas dan rakus. Sedari kaman kanak-kanak lagi penulis berkeinginan untuk memegang hidupan ganas ini. Apatah lagi melihat foto rakan-rakan lain yang berpeluang memegangnya. Alhamdulilah impian kanak-kanak penulis tertunai.



Destinasi yang ditujui adalah Pantai Thrung Krut’ di daerah Taling Ngam (Road No. 4170), perjalanan ke pantai ini melalui kawsan perkampungan yang dipenuhi dengan pohon-pohon nyiur yang tinggi melangit. Pantai disini tidak sesuai untuk bermandi-manda memandangkan ianya dipenuhi dengan cengkerang dan karangan laut yang telah mati. Kami mendapat maklumat daripada penduduk setempat bahawa pantai ini pintu masuk utama ke pulau Koh Katen dan Koh Taen yang terdapat di hadapan pantai ini. Kami menghabiskan masa lebih kurang 30 minit disini sebelum bergerak ke destinasi berikutnya.

Perut masing-masing telah lama memberikan isyarat kelaparan. Kami menuju ke satu-satunya kedai makanan muslim halal yang terdapat di pulau ini, ianya berada di satu-satunya kampung islam di pulau ini. Restoran Melayu Samui Seafood & Resort ini terletak berhampiran dengan Masjid Nurul Ahsan. Jarak dari pantai Thrung Krut’ ke kampung tersebut lebih kurang 5 km.


Setibanya disini, kami disapa mesra oleh pekerja restoran ini. Yang paling menyeronokan, bahasa melayu merupakan bahasa pertuturan harian penduduk disini. Senanglah untuk kami berbual dan memesan makanan. Sudah hampir 2 hari tekak asyik menjamah makanan segera. Sampai masanya untuk meraikan diri dengan hidangan yang enak-enak. Kami telah memesan Sotong Goreng Tepung, Sambal Belacan, Tom Yam Campur, Kerabu Mangga, Ikan Stim Samui dan Kailan Goreng. Sementara menantikan pesanan dimasak penulis berkesempatan menjengah kawasan sekitar kampung ini. Suasana dikampung ini amat menenangkan, pepohon nyiur memenuhi segenap ceruk pelusuk dan nelayan tradisional mendominasi pekerjaan utama penduduk disini. maka tidak hairanlah banyak terdapat ikan-ikan masin yang dijemur ditepi jalan. 

Sejujurnya inilah makanan siam paling sedap yang pernah tekak penulis nikmati lebih sedap daripada restoran di Hat Yai. Nilai yang perlu dibayar cuma Bath 800.. murah dan berbaloi.

Hidangan malam malam yang sungguh sedap


Penulis berlatar belakangkan Restoran di Kampung Melayu


Pemandangan di sekitar Kampung Melayu Samui

Pengembaraan kami diteruskan ke Pekan Nathon untuk melihat matahari terbenam. Perjalanan dari kampung ini ke Pentai Nathon (Road No. 4169) memakan masa 30 minit.

“Jika telah ditakdirkan sesuatu itu bukan jodoh,
maka usaha bagaimana pun tetap bukan jodoh kamu”

Sampai sahaja di Pantai Nathon matahari telah tenggelam dan cuaca telah beransur malam. Tiada sebarang sinar mentari seksi yang dapat kami saksikan.





Kecewa tidak dapat melihat matahari terbenam

Kecewa kami terus pulang semula ke tempat penginapan untuk berehat. Pada sebelah malamnya, pula kami pergi sekali lagi ke Pekan Chaweng, kali ini berbeza, kami memasuki kawasan REDLIGHT (hiburan malam). Tiada apa-apa yang kami lakukan, cuma melihat-lihat sahaja.  Inilah kekuatan negara Gajah Putih ini, biarpun politik tidak stabil namun tetap menjadi pilihan pelancong hidung belang.



Antara hiburan di kawasan Red Light

Sebelum pulang ke tempat penginapan, bagi menghilangkan lelah dan sengal badan akibat dari seharian berjalan-jalan. Kami mendapatkan perkhidmatan berurut di salon (urut halal & bukannya urut sex). Murah sahaja Cuma bayar Bath 200 untuk servis mengurut satu badan (tanpa minyak) selama hampir sejam lebih.


Hari 3 (Isnin,  2 Disember 2013)

Memandangkan trip untuk snorkeling dibatalkan dan kedai-kedai di Pekan Chaweng masih belum di buka. Penulis & seorang rakan bangun awal pagi untuk menikmati matahari terbit di ufuk pantai Chaweng, berjalan kaki dari pintu hotel ke gigi pantai tak sampai pun 3 minit, Syukur pada Nya, matahari memulakan sinarnya dengan begitu cantik dan indah, warna emas jingga sungguh mengkagumkan.


Matahari pagi di Pantai Chaweng

Untuk makluman, pagi disini lebih awal 1 jam berbanding di tempat asal penulis. Selesai kami menyambung aktiviti membasahkan badan dengan bermandi-manda di pantai Chaweng, pantai sedikit kotor disebabkan musim monsun, namun masih sedap untuk melayan jiwa dan raga.

Selesai makan pagi kami, kami pergi mengambil kereta, kali ini kami mendapat model kereta yang sama tapi bewarna merah pula, i loikee

Kami memulakan penjelajahan kami pada pagi ini ke kawasan timur Pantai Chaweng iaitu Laem Phung. Kawasan tanjung dan berbukit ini menempatkan banyak resort-resort persendirian bertaraf 5 bintang seperti seperti Renaissonse, Saaeraya dan Sawai yang bercirikan senibina siam. Satu yang penulis perhatikan, kebanyakkan resort-resort disini tidak berpagar di antara satu sama lain dan paling menyeronokan adalah public bebas untuk keluar masuk.  


Penulis berposing dihadapan salah satu resort 5 bintang

Setelah selesai mengisi minyak kereta (1 liter : Bath 40), penerokaan kami diteruskan ke walking street yang terletak di Teluk Chaweng, sebuah kawasan tadahan air banjir ketika musim monsum. Keadaan cuaca yang baik dan cerah menyemarakkan semangat untuk bergambar.


Dalam perjalanan ke Pantai Nakhon, kami melalui pekan Koh Samui, kami singgah sebentar di Tesco Lotus. Pasaraya paling besar di pulau ini. Tiada beza Tesco disini jika dibandingkan di negara asal, cuma disini pilihan barangan lebih banyak dan harga lebih murah. Penulis telah masuk ke kedai menjual barang kelengkapan rumah ”Home Pro”. Penulis telah membeli toilet lid baru bercorak London dan set bekas sabun, shampoo dan bekas berus gigi. Produk seperti ini susah nak jumpa di tempat asal. Lagi pula harganya sangat murah.

Sebelum sampai ke Pantai Nakhon, kami singgah sebentar di Pantai Bang Po’ yang terletak di bahagian utara pulau ini, pantai disini menghadap ke laut lepas (Teluk Siam), oleh itu sebarang bentuk aktiviti air adalah amat merbahaya kerana ombak dan gelombang yang besar. Kami hanya bergambar disini.


Tujuan asal kami ke Pantai Nakhon adalah untuk menikmati matahari terbenam disitu, sebab semalam kami terlambat sampai disitu dan juga keadaan hujan renyai-renyai. Hari ini kami sampai benar-benar awal sekitar matahari berbaki 30˚ barat. Kami luangkan masa yang ada di terminal penumpang feri Seatrans untuk melihat bot-bot nelayan yang bersedia untuk berlayar ke laut lepas menangkap ikan dan feri penumpang yang sedia untuk berlepas ke tanah besar. Memang cantik panorama melihat feri penumpang membelah ombak datang dan pergi dihiasi pula dengan pasir putih pantai yang terbentang luas. Emosi dan segala masalah yang berselirat hilang untuk seketika.

Lokasi berikutnya, kami berganjak ke pekan Nathon. Pekan Nathon pada asalnya merupakan pusat pentadbiran asal pulau ini. Namun disebabkan pembangunan di pekan Chaweng, pekan ini telah hanya menjadi pintu masuk ke pulau ini dari arah laut. Barang-barang yang dijual di bazar disini adalah sama seperti di pekan Chaweng, namun harganya sedikit lebih murah.

Memandangkan matahari mulai condong ke barat, kami beralih tempat ke pantai Nathon. Ketika penggambaran ini dibuat, air laut sedang surut, kami dapat berjalan ke beting pasir yang timbul di tengah laut. Sungguh cantik airnya yang jernih dan pasir halus bewarna putih... sangat cantik dihiasi pula dengan cahaya jingga emas matahari terbenam. Sungguh dahsyat kejadian itu, berbaloi sangat rasanya kami kesini pada petang tersebut.







Selesai matahari terbenam kami cepat-cepat menuju ke Kampung Melayu untuk menikmati hidangan makan malam siam paling sedap seperti semalam. Tapi malangnya apabila kami sampai di sana, tukang masaknya baru sahaja pulang ke rumah untuk bersolat. Memandangkan kereta sewa perlu dipulangkan sebelum jam 8.00 malam, dengan hampa dan redha kami terpaksa pulang ke Chaweng dengan perut kosong.

Selesai bersiapkan diri, kami keluar ke pekan Chaweng untuk membeli-belah kali yang terakhir sebelum pelang ke tanah air pada keesokan harinya. Kami pulang awal pada malam tersebut untuk mengemas barang.

Ringkasan Hari 3:

Sunset – Chaweng Beach
Laem Phung – Walking Street
Pantai Bang Po’ – Nathon Pier
Nathon Town – Nathon Beach
Samui Melayu – Lotus Hotel
Chaweng


Hari 4 (Selasa,  3 Disember 2013)

Seawal jam 5.00 pagi kami telah bangun dan bersiap-siap untuk meninggalkan pulau ini. Seperti dijanjikan van mengambil kami tepat jam 6 pagi dan setengah jam berikutnya tiba di jeti Nathon. Feri untuk perjalanan pulang kali ini lebih besar dari ketika kami datang ke sini. Satu tingkat lebih tinggi dan kelihatannya lebih baru. Perjalanan pulang diisikan dengan sesi menghabiskan bekalan makanan yang dibawa dari Malaysia, bergambar dan tidur di upper deck berbumbungkan matahari terbit, menarik bukan?


Feri Seatran yang anak membawa penulis pulang ke tanah besar



Sesi menghabiskan bekalan makanan yang dibawa di top deck feri



Jam 10.00 pagi kami tiba di jeti Donsak dan meneruskan perjalanan ke Suratthani Airport dengan bas yang sama. Setelah selesai check-in dan baggage drop off kami menghabiskan sisa-sisa duit Bath yang ada.



Sesi menghabiskan duit Bath dan kelihatan disitu toilet lid brand London yang di beli penulis di Home Pro


Ketika menunggu pesawat di Balai Berlepas

Dan akhirnya kami terbang kembali ke tanah tumpah darahku. Tiba di LCCT pada jam tepat jam 2.00 petang. Perkara pertama yang kami buat adalah mengisi perut masing-masing dengan masakan Malaysia.

Alhamdulillah, trip kali ini berjaya dilaksanakan dengan kos yang paling minimum.

”Hujan EMAS di bumi orang, hujan BERLIAN di bumi sendiri.. tentu sekali lebih baik dibumi sendiri”

Suhaimi Azit
31 Dec 2013

Tuesday, February 4, 2014

Fun Ride : Pecah Dara Manjung Gong Xi Fa Cai

31 Januari 2013 ~ Jumaat
Gong Xi Fa Cai



Penulis di Kampung Baharu, Sitiawan

Seperti yang penulis war-warkan di dalam status yang dahulu, penulis merancang untuk mengayuh basikal sempena cuti Tahun Baru Cina ini di kampung kelahiran pelulis. Jika nak berkayuh seorang terasa bosan pulak, maka dengan segan silu penulis postkan status mengenai aktiviti kayuhan ini dalam group basikal KIDS di Facebook. Alhamdulillah Tuan Anas yang berkerja sebagai Pegawai Navy memberikan respon dan ingin turut serta dalam kayuhan tersebut. 

Pada pagi tersebut, penulis telah bergerak seawal jam 6.45 pagi dari Teratak Bonda kenuju ke rumah Tuan Anas yang terletak berhampiran dengan pekan Lumut, memandangkan cuti Umum Tahun Baru Cina, jalan lengang dan pemanduan yang sepatutnya mengambil masa setengah jam dipendekkan kepada 15 minit sahaja. Dengar kabar kawasan Manjung tidak disimbahi air hujan hampir 3 minggu, yup! Sememang panas dan tidak hairanlah muka dan tekak terasa perit.


Setelah memastikan keadaan basikal dan tekanan angin dalam keadaan baik, kayuhan kami mulakan. Cuma kami berdua sahaja yang berkayuh pada pagi tersebut. Walaupun berdua namun meriah semacam ramai pula yang berkayuh, banyak perkara yang kami bualkan.


Berlatar belakangkan Sungai Dindings

Kayuhan kami bermula dari Taman Manjung Permai menuju ke Kampung Acheh (Pelabuhan) dan seterusnya melintasi 2 buah jambatan yang merentangi sungai Dinding dan Sg. Acheh dan membelok ke Kampung Baharu.menuju ke Jalan Stesen Komunikasi TLDM Kg. BARU. kami berhenti untuk menikmati makan pagi di sebuah gerai yang terletak di Kampung Sg. Wangi, memang sedap nasi lemak yang dihidangkan, tidak menghairankan kenapa terlalu ramai pelanggang yang bertandang ke kedai ini.



 Penat berkayuh.. rehatkan diri dengan menikmati 
nasi lemak panas telur dadar

Akhirnya kami berkayuh pulang semula ke Pekan Lumut, kali ini kami pulang melalui jalan besar Ipoh - Lumut. jalannya lebih besar dan banyak kenderaan yang lalu-lalang. Jarak kayuhan kami berdua pada pagi ini lebih kurang 40 km dan mengambil masa lebih kurang 3 jam( dicampur dengan masa berhenti dan makan-makan). Kayuhan kami selesai lebih kurang jam 11.30 pagi, elok sangat untuk pulang ke rumah dan bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat.

Kesimpulannya penulis berpendapat bahawa dengan membawa basikal pulang bersama ke kampung ketika trip pulang ke kampung dapat memastikan basikal penulis digunakan daripada disimpan di Kuala Lumpur tanpa dapat memastikan bilakah ianya dapat digunakan. lagipun terdapat banyak tempat-tempat yang boleh ditujui di daerah Manjung.da pagi itu berakhir jam 1.30 pagi, just nice untuk penulis segera pulang ke Teratak Bonda untuk bersiap-siap ke Solat Jumaat.
REZEKI akan MELIMPAH jika DIBAHAGI...
ILMU akan BERTAMBAH jika DIKONGSI...
KASIH SAYANG akan BERCAMBAH jika DIBERI

jangan KEDEKUT...
JAngan TAMAK dan TAK PERLU BIMBANG...
Jika segalanya hanya kerana ALLAH